
Apa kata kita renungkan kembali tips kejayaan yang telah Allah SWT
titipkan di permulaan surah al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran
al-Quran:
01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman."
Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama.
Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan
melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.
02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati
"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya."
Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah
dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil
lewa
03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.
"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan
dan perkataan yang tidak berguna)."
Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh
tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan,
menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja
melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan.
Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar,
dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti
membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan
darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia
maklum.
Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil
wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita
lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak
membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.
Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat
pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada
masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang
bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.
04.Prihatin sesama kita
Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita
bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih
susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu,
kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.
05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan
"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap
isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan
hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka
itulah orang-orang yang melampaui batas."
Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari
batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi
berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je
mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.
Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan
sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.
06.Jujur, amanah
" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan
janjinya."
Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita
untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah
berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang
pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita
mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?
Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan
meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus
menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula
wala quwwata illa billahil 'azim."
07.Tepati waktu
"dan orang-orang yang memelihara solatnya."
Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar
Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak
berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum
ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan,
kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan
seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga
mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan
jalan.
Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk
akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga
hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan
amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi.
Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan
merebut peluang mewarisi syurga-Nya.
Dipetik
daripada: iluvislam.com
No comments:
Post a Comment